Sunday, January 10, 2010

HAMKA dalam dunia melayu



Dewasa ini beliau hanya dikenali atas nama sahaja, sedang jasa & perjuangannya membebaskan minda bangsa melayu terlalu besar ukuran nilainya. Anak-nak kita apakah terhinggap nama HAMKA di telinga mereka?

Marilah kita mengenal HAMKA melebihi namanya, kerana darah pejuang mengalir dari akal dan penanya. Semoga kita di izin ALLAH untuk bercerita tentang HAMKA lebih dari namanya untuk anak cucu kita.

Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah ( HAMKA).

Tokoh dari tanah seberang ini sengaja dipilih untuk disisipkan dalam koleksi ini kerana Almarhum Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah atau dikenali sebagai Prof. Dr Hamka adalah ulama besar Nusantara yang sangat terkenal. Lebih-lebih lagi beliau berasal dari tanah Minangkabau yang mempunyai pertalian dengan masyarakat adat perpatih di Negeri Sembilan. Setiap orang di negara ini yang pernah melihat dan mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh tokoh ini pastinya merasai kerinduan yang mendalam terhadap nastolgia lampau. Penyusun sendiri tanpa sedar boleh menitiskan airmata apabila tokoh ‘idola’ ini tersedu dalam ceramah dakwahnya di kaca TV kira-kira awal tahun 1970an dahulu. Gayanya yang tersendiri dalam berdakwah amat memukau sekali bagai magnet yang boleh menyentuh hati setiap insan yang mendengar.

Latar Belakang Ulama

Pak Hamka atau Buya Hamka adalah nama istimewa yang mempunyai nilai tersendiri di persada perkembangan Islam dan dunia kesusasteraan nusantara. Hamka dari singkatan nama Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim. Almarhum dilahirkan di Kampung Tanah Sirah ( ada riwayat lain mengatakan di Kampung Molek), Negeri Sungai Batang Maninjau, Minangkabau pada 14 Muharram 1326H bersamaan 17 Febuari 1908. Bapanya Haji Abdul Karim Amrullah adalah ulama terkenal Minangkabau yang tersohor dan dianggap pula pembawa reformasi Islam ( kaum muda). Menariknya pula, datuk beliau adalah ulama tarekat yang bersuluk terkenal. Tuan Kisa-i ( datuk Hamka) tetap mengamal Thariqat Naqsyabandiyah, istiqamah mengikut Mazhab Syafie. Pemahaman Islam Tuan Kisa-i sama dengan pegangan ‘Kaum Tua’, tetapi pada zaman beliau istilah ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’ belum tersebar luas. Anak beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah seorang pelopor dan termasuk tokoh besar dalam perjuangan ‘Kaum Muda’. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah menolak amalan Thariqat Naqsyabandiyah, sekali gus menolak ikatan ‘taqlid’, tetapi lebih cenderung kepada pemikiran Syeikh Muhammad Abduh. Manakala ibunya pula bernama Siti Safiyah Binti Gelanggar yang bergelar Bagindo nan Batuah.

Menurut sejarahnya, bapa beliau pernah dibuang daerah oleh penjajah Belanda ke Sukabumi dalam tahun 1941 lantaran fatwa beliau yang dianggap membahayakan penjajah dan keselamatan umum. Haji Abdul Karim adalah tuan guru kepada Sheikh Haji Ahmad Jelebu[1] yang riwayat hidupnya turut disajikan dalam koleksi ini. Beliau meninggal dunia pada 21 Jun 1945.

No comments:

Post a Comment