Monday, December 20, 2010

Subhanalllah, Alhamdulilah, Allahhuakbar.

i - Subhanallah (سبحان الله)

Maksud literalnya adalah "Maha Suci Allah". Jika dikaji dari sudut bahasa, kalimah "Subhaana" adalah membawa maksud tanzeeh, yakni penyucian dan pembersihan dari segala kekurangan dan kelemahan. Ia terdapat dalam beberapa tempat dalam al-Quran:

"Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) beserta-Nya, kalau ada tuhan beserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebagian yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu," (al-Mu'minuun: 91)


" Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha
Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia)." (al-Qasas: 68)


Daripada ayat-ayat di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa kalimah "Subhaanallah" adalah bermaksud Allah Subhaanahu Wata'ala adalah Suci
dari segala kekurangan, kelemahan dan ketidak sempurnaan yang tidak layak bagiNya.

Justeru, apabila melafazkan kalimah "Subhaanallah" , seharusnya terlintas di dalam hati kita bahawa Allah Ta'ala itu Maha Agung, Maha
Sempurna serta langsung tidak ada kekurangan atau kelemahan. Dari itu, akan lahirlah rasa bahawa diri kita ini adalah hamba yang
hina kerana kita ini serba kekurangan dan banyak membuat kesilapan. Lalu wajarlah Allah Taala itu disembah dan ditaati, dan kita pula
langsung tidak layak untuk menderhakai Allah, walaupun sedikit.


ii- Alhamdulillah (الحمد لله)


Maksudnya jelas lagi tegas, iaitu: segala pujian itu adalah bagi Allah. Hanya untuk Allah. Iaitu, segala ucapan pujian, kesyukuran dan penghargaan itu hanya layak bagi Allah, kerana Dialah yang menjadikan segala nikmat, dan segala perjalanan dunia ini dialah yang mengaturnya. Maka jika ada sesuatu yang menggembirakan, sememangnya yang paling layak untuk menerima pujian dan penghargaan adalah Allah,kerana dialah yang telah menetapkan
segala-galanya.

Seharusnya apabila kita dipuji,sebaik-baiknya kita panjangkan terus pujian itu pada Allah dengan ucapan Alhamdulillah, kerana Dialah yang sebenarnya layak untuk pujian itu, dan dengan berbuat demikian boleh mengelakkan kita daripada takabbur dan bangga diri.

Dan tidak salah mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan sesama manusia, kerana sabda Rasulullah s.a.w.:

لَا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ
"Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah"
(Hadith riwayat Ahmad, Abi Daud dan Turmuzhi)


Namun, harus diingat, bahawa ucapan syukur dan pujian sesama manusia adalah bersifat majaz (kiasan) semata-mata, kerana hakikatnya, Allah lah yang menjadikan segala-galanya. Justeru setiap kali kita memuji atau dipuji, haruslah kita ingat bahawasanya yang sebenar-benar layak bagi segala pujian adalah Allah, supaya kita tidak terjerumus dalam lembah kesyirikan dan takabbur.


iii- Allahuakbar (الله أكبر)

Kalimah "Akbar" adalah dalam wazan tafdheel, justeru akbar bermaksud yang maha besar, yakni yang paling besar. Justeru kalimah Allahuakbar
bermaksud, bahawasanya Allah lah yang paling besar, yang paling penting, dan paling mustahak. Tiada perkara lain yang lebih utama berbanding Allah Ta'ala. Segala perintah Allah mesti didahulukan dari segala urusan yang lain. Larangan Allah mestilah dijunjung dan diutamakan dari tuntutan dan pujuk rayu hawa nafsu. Justeru, Allah lah yang paling utama dan paling besar dalam alam ini, dan paling besar dalam kehidupan setiap hamba.

Berapa kali sudah kita menyebutnya, terutamanya dalam sembahyang. Siang dan malam. Bayangkanlah jika kalimah ini dihayati, sudah tentu di luar
sembahyang pun, Allah jualah yang menjadi matlamat hidup dan prioriti utama dalam segala hal.

Mudah-mudahan selepas kita memahami dan memikirkan maksud kalimah-kalimah zikir ini, dapatlah kita menghayati zikrullah dan seterusnya memberi kesan kepada hati dan menambahkan keimanan. Wallahu 'Alam

No comments:

Post a Comment