Thursday, January 9, 2014

Silat Dan Matlamat Kotemporari



Terdetik bertanyakan soalan lazim sewaktu membasahkan tekak di sebuah warung dengan adik-adik segelanggang suatu ketika dulu, tentang matlamat mereka bersilat. Berbagai jawapan keluar yang seselera dengan jiwa mereka, antara yang lazim “untuk mengekalkan warisan tradisi”.
Sambil minum saya mencerna jawapan tersebut,  barangkali  itulah yang sering berlegar sebagai jawapan pesilat muda hari ini. Dalam diam saya berhujah sendirian untuk melihat kearifan jawapan tersebut. Bila saya mula membandingkan dengan matlamat seni bela diri bangsa lain amat berbeza terapan matamatnya. Tanpa berselindung mereka meyakinkan pengamalnya bahawa ianya boleh dijadikan pendinding diri walau bagaimana manapunnya berubahnya dunia.


Bila mana saya mengintai-intai  jawapan “untuk mengekalkan warisan tradisi” tercetus beberapa persoalan yang jawapannya juga seselera saya.
Kalau sekadar bermatlamat untuk mengekalkan tradisi  apa perlunya berlatih bermati-matian kerana silat sekadar berakhir di pentas-pentas keraian.
Kalau sekadar bermatlamat mengekalkan tradisi apa guna moyang-moyang terdahulu ‘bertawakal’ atas ilmu silat sewaktu mempertahankan kesucian tanah tumpah darah kita.
Kalau sekadar bermatlamat tradisi apa gunanya ilmu silat yang allah ilhamkan kepada umat melayu.
Sedarlah saya dalam diam, bukan orang lain yang mereputkan ‘jasad & roh’ silat kerana kalau sekadar matlamatnya tradisi kita menjadikan silat sekadar ‘pakaian’ yang cantik untuk  di peragakan tapi tidak berwibawa untuk  menutup aib, maruah & harga diri agama dan bangsa kita.
Yakini lah silat dangan’jasad & roh’ yang  diperturunkan kepada kita, selebihnya biarlah qada dan qadar ALLAH yang menjadi penentu langkah kita.